Jun 7, 2011

Lawatan Sambil Belajar Ke Pulau Langkawi



Pada 29 April hingga 2 Mei 2011 seramai 40 orang ahli rombongan yang terdiri daripada Anggota kerja, usahawan serta 2 balu kepada anggota kerja di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan telah menyertai lawatan sambil belajar ke Langkawi Kedah.
Ahli rombongan telah bertolak dari pejabat pada 29 April 2011 jam 9.30 malam menaiki bas dan sampai ke jeti Kuala Perlis pada jam 7.30 pagi dan seterusnya meneruskan perjalanan menaiki feri ke Langkawi pada 30 April jam 8.30 pagi. Sampai di Jeti Langkawi kami disambut oleh wakil anggota kerja PKKM Langkawi. 3 buah van dan sebuah kenderaan Kraftangan Langkawi telah membawa ahli rombongan memenuhi jadual lawatan yang telah diatur. Lawatan pertama kami di sana ialah ke Kompleks Kraf Langkawi, kami di bawa ke galeri, ruang pameran dan jualan produk kraf serta bengkel usahawan. Ahli rombongan juga telah di dedahkan cara pembuatan kristal di Faizy Crystal. Pihak Kraftangan Langkawi juga telah menyediakan jamuan ringan kepada kami. Lawatan diteruskan ke Galeria Perdana. Atas usaha pihak Kraftangan Langkawi, ahli rombongan di kecualikan dari bayaran masuk. Terima kasih di atas kerjasama dan layanan yang diberikan.
Peserta rombongan telah disediakan tempat penginapan yang menarik iaitu di One Hotel Helang yang terletak di Padang Mat Sirat. Setelah berehat sekejap jadual lawatan pada hari pertama diteruskan iaitu ke Laman Padi Air Hangat. Kami sedikit kecewa laman ini tidak terjaga dan dalam proses pengubahsuaian. Ahli rombongan seterusnya diberi kebebasan dengan aktiviti bebas dan diwajibkan berada di lokasi makan malam pada jam 8.30 malam. Kami di jamu dengan pelbagai makanan laut yang enak dan lazat di sebuah restoran makanan laut di pinggir Pekan Kuah. Setelah makan malam aktiviti pada hari pertama telah dipenuhi.
Pada 1hb Mei 2011, ahli rombongan telah di bawa ke Geopark . Kami telah dibawa menaiki 4 buah bot untuk membuat lawatan ke beberapa lokasi di sekitar taman tersebut antaranya kawasan helang laut, ternakan ikan dan juga kawasan kilim Geoforest Park yang terletak berhampiran dengan Negara jiran kita iaitu Thailand.
Seterusnya kami dibawa ke Makam Mahsuri. Di sini ahli rombongan diberi kebebasan samada untuk memasuki makam mahsuri atau tidak. Kami makan tengahari disini dan pulang ke hotel untuk merehatkan badan sebelum mengikuti aktiviti seterusnya iaitu menaiki kereta cable di Gunung Mat Cincang. Di sini sememangya menguji kesabaran ahli rombongan kerana terpaksa beratur untuk menunggu giliran. Kebanyakan ahli dapat menaiki kereta cable setelah hari hampir senja dan menuruni setelah hari telah malam. Tidak semua ahli rombongan berani menaiki kereta cable tersebut kecuali ahli rombongan yang mempunyai semangat yang kental serta berani boleh menjejaki gunung tersebut. Aktiviti pada hari kedua selesai selepas ahli rombongan makan malam dan membeli belah di sekitar Pekan Kuah.
Pada 2hb Mei 2011, peserta rombongan diwajibkan berada di lobi hotel pada jam 7.30 pagi untuk bertolak ke jeti. Disini sekali lagi menguji kesabaran peserta rombongan kerana pelancong terlalu ramai di jeti Langkawi untuk pulang ke destinasi masing-masing. Feri kami dijadualkan jam 8.30 pagi telah tertunda hampir satu jam. Apabila sampai ke jeti Perlis, kami terus menaiki bas ke Padang Besar Perlis. Peserta rombongan mengambil kesempatan membeli belah di sini. Mengikut jadual asal, destinasi seterusnya ialah ke Pekan Rabu, oleh kerana semua ahli rombongan telah kepenatan, semua bersetuju untuk terus bertolak balik ke Seremban. Kami bertolak dari Padang Besar pada jam 2.30 petang.
Perjalanan yang biasanya mengambil 8 ke 9 jam telah mengambil masa lebih kurang 12 jam dan kami selamat sampai di Seremban pada jam 3.30 pagi manakala di Kuala Pilah lebih kurang jam 4.00 pagi. Walau pun kepenatan jam 8.00 pagi kami telah berada di pejabat keesokan harinya untuk menjalankan tugas seperti biasa.
Semoga aktiviti sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Ini dapat mengeratkan hubungan antara anggota kerja....
"BUDI BAHASA BUDAYA KITA"

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH