"BUDI BAHASA BUDAYA KITA"
Feb 29, 2012
Majlis Persaraan & Sambutan Hari Lahir Feb 2012
Pada tanggal 24
Februari 2012, pihak pengurusan Kraftangan Malaysia dan Kelab Sukan Dan
Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (KSKKMNS) telah
mengadakan jamuan bagi meraikan persaraan Puan Rokiah Binti Md Shariff di Pusat
Inkubator Kraf Kuala Pilah. Puan Rokiah atau lebih dikenali sebagai Kak Kiah
telah berkhidmat lebih 32 tahun dengan Kraftangan Malaysia bermula pada 11
Januari 1980 sebagai Jurutaip sehinggalah 26 Februari 2012 sebagai Pegawai
Khidmat Pelanggan (N17).
Majlis dimulakan
dengan Bacaan Doa Selamat untuk arwah ibu mertua Pengarah, ibu kepada Encik
Tajudeen dan Encik Ghazali (Atok) yang telah meninggal dunia baru-baru ini dan
seluruh kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggalkan kita. Tidak lupa
juga doa buat Encik Tajudeen dan isteri Puan Sharifah yang akan mengerjakan
umrah pada 10 Mac 2012. Majlis diteruskan dengan Mesyuarat Pengurusan dan
Mesyuarat Anggota Kerja pada sebelah tengahari.
Pada sebelah petang diadakan jamuan persaraan untuk Kak Kiah dan juga
upacara memotong kek hari lahir Kak Kiah, Badrul Sham dan Malek. Turut hadir
pada majlis tersebut ialah Puan Mariam dan Puan Norain dari Bahagian Khidmat
Pengurusan (Unit Sumber Manusia) ibu pejabat. Majlis diakhiri dengan Pengarah
menyampaikan cenderamata persaraan daripada pihak pengurusan Kraftangan
Malaysia dan Encik Tajudeen (Pengerusi KSKKMNS) telah menyampaikan cenderamata dan
hadiah hari lahir sumbangan KSKKMNS.
Kami warga kraf Negeri Sembilan mendoakan
semoga Kak Kiah sentiasa ceria, bersemangat, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan
umur. Amin......jangan sodeh-sodeh yo.
"BUDI BAHASA BUDAYA KITA"
Feb 20, 2012
Sepetang Bersama Usahawan
Kraftangan
Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (KMNS) telah mengadakan perjumpaan
dengan lebih 40 orang usahawan kraf Negeri
Sembilan pada 16 Februari 2012 di
Kompleks Kraf Negeri Sembilan. Program yang dipanggil Sepetang Bersama Usahawan
khusus untuk memaklumkan mengenai Pelan Transformasi Kraf Negara menjelang
Tahun 2016 dan juga penyertaan di dalam Hari Kraf Kebangsaan 2012. Program
selama 2 jam itu telah dimulai dengan ucapan aluan oleh Puan Safiah Ismail,
Pengerusi Kelab Usahawan Kraf Negeri Sembilan, seterusnya talkimat oleh Pengarah
KMNS. Program diakhiri dengan sesi soal jawab oleh para usahawan dan jamuan
minum petang.
"BUDI BAHASA BUDAYA KITA"
Feb 13, 2012
Promosi Kraf Malaysia Di AEON Seremban 2
SEREMBAN, 10
Februari 2012- Kraftangan Malaysia sekali lagi mengadakan Promosi Kraf Malaysia
di Pusat Membeli Belah yang terkenal di Negeri Sembilan iaitu AEON Seremban 2. Promosi yang diadakan selama 11 hari bermula pada 9 Februari – 19 Februari
2012 menampilkan 18 orang usahawan kraf yang berlainan dalam bidang tekstil,
hasil rimba, seramik, logam dan aneka kraf.
Promosi yang diadakan sejak tahun 2007 sentiasa mendapat sambutan
daripada para pengunjung yang berminat untuk mendapatkan produk kraf buatan tempatan.
Di samping itu juga, para usahawan kraf dapat menjana pendapatan melalui
perolehan jualan, tempahan dan jalinan hubungan perniagaan.
Promosi ini juga setiap tahun mendapat perhatian dan kunjungan daripada
Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Razi bin Haji Kail, Pengerusi Jawatankuasa
Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan Dan Adat
Istiadat Melayu Negeri Sembilan yang akan melawat tapak promosi pada 15
Februari 2012, jam 3.00 petang bersama dengan pihak media.
Datanglah beramai- beramai ke Promosi Kraf Malaysia AEON Seremban 2 untuk mendapatkan kraf tekstil batik, tenunan mahupun songket berserta dengan produk logam perhiasan diri sebagai pelengkap keanggunan busana. Tidak ketinggalan hiasi rumah anda dengan produk kraf seramik, anyaman rotan, buluh dan aneka kraf. Diadakan juga aktiviti interaktif kraf anyaman rotan,mewarna bekas buluh dan seramik setiap hari serta Persembahan Kesenian Caklempong
dan Muzik Asli pada hujung minggu.
"BUDI BAHASA BUDAYA KITA"
M&M MUSTIKA NEGERI SEMBILAN |
PENTAS UTAMA |
NORMADIAH SAHID |
PINTU GERBANG UTAMA |
USAHAWAN DARI KL |
PERSEMBAHAN MUZIK CAKLEMPONG |
Feb 9, 2012
Sambutan Hari Lahir Anggota Kerja Januari 2012
Kelab Sukan Dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan
Negeri Sembilan (KSKKMNS) telah mengadakan majlis sambutan hari lahir 4 orang
anggota kerjanya bersempena dengan Hari Keluarga yang diadakan di Ismah Beach
Resort, Pengkalan Balak, Melaka pada 13-14 Januari 2012. Anggota kerja yang
dimaksudkan ialah Waheeda (1 Januari), Lipah (2 Januari), Nazmir & Yusuf (3
Januari) yang menyambut hari lahir berturut-turut, telah diraikan dengan
upacara memotong kek dan penyampaian hadiah hari lahir dari KSKKMNS.
Semoga
tahun 2012, rezeki KSKKMNS akan bertambah untuk mengadakan aktiviti
kekeluargaan dan kebajikan di kalangan anggota kerjanya.
"BUDI BAHASA BUDAYA KITA"
Feb 1, 2012
Kunjungan Keluarga Yang Dipertuan Raja Alam Pagaruyung
SEREMBAN, 27 JANUARI 2012 – Kraftangan Malaysia
Cawangan Negeri Sembilan menerima kunjungan rasmi daripada Yang Dipertuan Gadih
Gadang Pagaruyung, Prof Dr Ir Puti Reno Raudhatul Jannah Taib serta Waris Istano
Si Lindung Bulan seramai 30 orang ke Kompleks Kraf Negeri Sembilan.
Kunjungan
Keluarga Besar Daulat ini merupakan salah satu acara lawatan ke Negeri
Sembilan. Kunjungan selama dua jam ini telah melawat Galeri Pameran Produk
Baru, Galeri Kraf Warisan, Galeri Kelab Usahawan Kraf Negeri Sembilan dan Kedai
Karyaneka seterusnya mendengar taklimat daripada Pengarah Kraftangan Malaysia
Cawangan Negeri Sembilan, Encik Mohamad Ali bin Mad Jais. Turut hadir menyambut
ketibaan rombongan ini ialah Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Razi bin Haji
Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan,
Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan.
Semoga lawatan ini dapat
mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kedua-dua negara disamping
memperkenalkan lagi Kompleks Kraf Negeri Sembilan sebagai salah satu destinasi
pelancongan di Negeri Sembilan yang mempamer dan menjual produk-produk kraf
buatan Malaysia.
"BUDI BAHASA BUDAYA KITA"
Subscribe to:
Posts (Atom)